ABU BAKAR YAHYA
ABU BAKAR YAHYA

Demikian ditegaskan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Abu Bakar Yahya apabila menyatakan Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) telah pun melaksanakan komitmen meringankan beban rakyat menerusi pengumuman penetapan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar sifar berkuatkuasa 1 Jun ini. 

Justeru, sebagai sebuah kumpulan yang membentuk jaringan ekonomi di negara ini, maka sudah tentunya pihak seperti para peniaga, pemborong, pengendali pengangkutan serta pengilang boleh memainkan peranan masing-masing di peringkat nasional dengan tidak menaikkan harga jualan produk serta perkhidmatan mereka kepada pengguna. 

“Jika peranan serta kerjasama ini berlaku dalam sistem pasaran di negara ini, saya yakin dan percaya isu bebanan kos harga barang dan sara hidup rakyat dapat ditangani dengan lebih berkesan tanpa perlunya campur tangan kerajaan menerusi tindakan undang-undang serta penguatkuasaan,” katanya di sini hari ini. 

Tambah Abu Bakar, langkah penurunan harga barangan kepada pengguna itu diyakini tidak akan memberi kesan terhadap prestasi jualan para peniaga serta pengendali perkhidmatan kerana mereka tidak lagi dikenakan GST pada kadar enam peratus seperti mana yang dilaksanakan sebelum ini. 

Malah, beliau yakin langkah sedemikian sebaliknya akan memberi kesan positif kepada para peniaga kerana penuruhan harga barang dan perkhidmatan itu mampu meningkatkan semula kuasa beli di kalangan para pengguna. 

“Sebelum ini para pengguna kurang membuat pembelian atas faktor harga terlalu tinggi yang akhirnya menjejaskan para peniaga. Bagaimanapun, kita jangkakan kesan sebaliknya akan berlaku jika langkah penurunan harga ini dapat dilaksanakan dengan tanggungjawab bersama daripada para peniaga,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE.