Beliau berkata, kerjasama menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat sangat diperlukan ter­utamanya bagi penduduk di luar bandar dan pedalaman.

"Pelaksanaan program kerjasama untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat itu selaras dengan pelaksanaan Pusat Transformasi Bandar bagi komuniti bandar dan Pusat Transformasi Luar Bandar untuk komuniti di kawasan ber­kenaan," katanya semasa merasmikan Program Karnival Pekerjaan dan Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) 2018, di sini, hari ini.

Beliau berkata, melalui program itu, kerajaan berharap ia dapat membawa transformasi sosial kepada rakyat demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat dan negara.

"Saya difahamkan lebih 30 agensi kerajaan dengan membawa 100 jenis perkhidmatan sepanjang program dua hari ini sejak semalam dan sebanyak 20 majikan dengan 500 peluang pekerjaan yang ditawarkan sepanjang program ini.

"Semua perkhidmatan adalah percuma seperti pemeriksaan kesihatan, peranca­ngan keluarga serta agihan topi keledar dan pelbagai barang keperluan rakyat dan perkhid­matan percuma ini merupakan ­usaha kerajaan yang tidak pernah mengabaikan semua rak­yat termasuk di Sabah," katanya.

Sehubungan itu, Salleh me­minta ma­syarakat di Kota Belud, khususnya golongan muda me­rebut peluang perkhidmatan dan menikmati semua kemudahan yang disediakan.

"Program NBOS ini (Mobile CTC di Kota Belud) merupakan siri pertama diadakan di Sabah pada tahun ini. Oleh itu saya berharap agar misi merakyatkan perkhidmatan awam seumpama ini dapat dinikmati seluruh penduduk di daerah ini.

Salleh berkata, semua program itu dapat diadakan dengan sempurna dan lancar disebabkan kestabilan politik dan ekonomi negara. - BERNAMA