Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berpendapat, perkara itu boleh dicapai memandangkan masing-masing negara mempunyai kelebihan dalam aspek tertentu termasuk dari segi pengeluaran komponen kereta, tenaga kerja dan teknologi yang berkaitan.

“Orang yang tengok Proton ini pasal nampak Proton Saga, dia lupa bahawa konsep ini tidak lagi Proton Saga zaman ‘tok kaduk’ atau awal 80an dahulu. Proton hari ini menggunakan satu jentera, teknologi yang nak dibawa masuk iaitu teknologi hibrid dan kereta elektrik.

“Kita tahu di negara lain sudah mula ada peraturan yang begitu ketat, tidak lagi benarkan kereta yang ada pembebasan gas karbon dioksida, tidak perlu lagi menggunakan minyak fosil.

RAFIDAH AZIZ, di kediamannya di Setia Murni 2, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - UTUSA

RAFIDAH AZIZ, di kediamannya di Setia Murni 2, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE/ MD.SHAHJEHAN MAAMIN

“Kalau kita dapat buat di sini (Malaysia) untuk pasaran dunia, berasaskan apa yang ada di Proton dan diperkayakan dengan teknologi dari China, dibawa masuk pula rakan kongsi dari negara ASEAN, bukankah kita ini boleh menjadi hab pengeluaran kereta di wilayah ini,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Utusan Online baru-baru ini.

Rafidah terdahulu ditanya pandangannya berhubung respon kurang memberangsangkan oleh pelbagai pihak terhadap cadangan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengeluarkan kereta nasional ketiga, yang menurutnya, tidak perlu ada jenama baharu sebaliknya Proton diberikan ‘nafas baharu’ dengan menghasilkan model berteknologi tinggi sesuai dengan kehendak semasa pembeli kereta.

Dalam hal ini, tegas beliau, rakyat perlu membuang stereotaip yang ada dalam minda mereka yang mengaitkan Proton dengan model yang lepas sebaliknya cuba membayangkan model terbaharu dengan teknologi terkini seperti sistem hibrid dan kereta elektrik.

“Saya selalu katakan kita boleh menjadi hab kereta rantau ASEAN, di mana komponen-komponen kereta diambil dari negara-negara rantau itu. Seterusnya, kita pilih jenis kereta atau kereta komersial yang kita berkemampuan hasilkan dengan menggunakan teknologi dari China misalnya.

“Jadi, kalau kita boleh gabungkan teknologi mereka dengan apa yang kita ada di Malaysia dan ASEAN, cuba kita fikirkan pasaran kita, pasaran ASEAN besar, kita boleh menjadi hab, bukan nak buat Proton untuk Malaysia, tetapi untuk pasaran lain,” katanya. - UTUSAN ONLINE