Ketua Pegawai Eksekutif Exis Tech, Lee Heng Lee berkata, sikap pekerja yang bersungguh-sungguh dan bekerja keras untuk menjadikan syarikat sebagai sebuah organisasi yang berdaya saing dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini merupakan faktor utama bagi kejayaan syarikat ini.

Dalam masa sama, kemampuan syarikat memenuhi kehendak pasaran dan memberikan perkhidmatan yang terbaik juga merupakan mekanisme utama membolehkan syarikat meraih jualan bersih sebanyak RM79 juta pada 2015 berbanding RM31 juta pada 2014.

Selain itu, jelasnya, keluaran yang berteknologi dan bermutu tinggi menjadi teras utama dalam mengukuhkan daya pasaran produk syarikat.

“Permintaan pasaran yang tinggi juga mendorong kami untuk lebih progresif dalam menyediakan perkhidmatan ter­baik bagi mendapat tempat dalam pasaran tempatan mahupun global,” katanya.

Exis Tech merupakan sebuah syarikat yang terlibat dalam sektor mereka bentuk dan pengeluaran mesin untuk industri semikonduktor yang diasaskan oleh Heng Lee yang berasal dari Muar, Johor pada 2002.

Exis Tech dimiliki sepenuh­nya anak jati Malaysia dan memulakan operasi dengan kapasiti pekerja seramai 4 orang.

Setelah 10 tahun berkecimpung menghasilkan produk-produk yang bertepatan dengan kehendak pasaran, Exis Tech mengorak langkah ke hadapan dengan membina kilang baharu di Kawasan Perindustrian Tuanku Jaafar di Seremban, Negeri Sembilan bertujuan mengembangkan perniagaan.

“Kami berharap kejayaan ini akan membolehkan syarikat merancang masa depan untuk menjadi pengeluar bertaraf dunia dengan mengaplikasi teknologi terkini yang dapat menggalakkan pertumbuhan eko­nomi negara.

“Sejajar dengan matlamat itu, kami bakal berpindah ke kilang baharu yang tiga kali ganda lebih besar dari kilang yang ada sekarang.

“Dengan terbinanya kilang baharu itu maka perancangan jitu untuk mengembangkan pro­duk portfolio dalam industri lain misalnya dalam sektor kesihatan dan automotif akan menjadi realiti,” katanya.