Apa tidaknya, sudah berhempas pulas mengendalikan kelas yang mempunyai ramai murid seharian, guru terpaksa pula melibatkan diri dengan tugas lain termasuk kerja-kerja pengkeranian serta pentadbiran.

Sudahlah tertekan dengan masalah kewangan akibat kos sara hidup yang tinggi dan masalah peribadi di rumah, sampai sahaja di sekolah dihimpit pula dengan tanggungjawab lain yang tidak sepatutnya dipikul oleh mereka.

Sehubungan itu, bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon, menggesa kerajaan untuk melaksanakan inisiatif mewujudkan jawatan pembantu guru dalam masa terdekat bagi menamatkan penderitaan kumpulan tenaga pengajar terbabit.

“Kementerian Pendidikan pun sudah menyatakan akan membuat kajian serta penelitian terhadap permasalahan berbangkit, jadi kita tunggu dan lihat apa yang mereka akan lakukan selepas ini.

“Cuma kena ingat, setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri adalah dasar yang mempunyai ‘kuasa’ dan ia harus konsisten, inklusif serta progresif, jika tidak, guru-guru akan terus memikul beban yang tidak sepatutnya,” katanya.

Sin Woon turut menegaskan agar kerajaan baharu tidak menolak cadangan atau inisiatif pihak terdahulu walaupun ia mampu membawa kebaikan dan manfaat kepada golongan pendidik ini.

“Kita amat bersetuju jika kerajaan mewujudkan kemudahan baharu, tetapi janganlah menolak atau membatalkan usaha yang sedang dalam pelaksanaan walaupun ia demi kebaikan semua,” ujarnya.

Mengulas mengenai pendedahan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berhubung masalah kekurangan guru di bandar besar seperti di Johor dan Selangor semakin serius, kerajaan wajar mempertimbangkan elaun sara hidup bagi mereka yang mengajar di bandar.

“Kerajaan sebelum ini telah pun menyediakan elaun kepada guru-guru yang berkhidmat di kawasan luar bandar, jadi tidak salah untuk kerajaan sekarang menggunakan pendekatan serupa bagi menarik lebih ramai tenaga pengajar berkhidmat di kawasan tersebut,” tambahnya.