Keunikannya menjadi lebih terserlah apabila setiap bilah keris yang dibawa melambangkan keperibadian dan boleh dilihat melalui bentuk pada bahagian kepala keris.

Lok mungkin berbentuk kepala harimau, belalai gajah, ular, cicak, kuda laut mahu pun naga. Setiap bentuk mempunyai perlambangan tertentu serta menunjukkan tanggungjawab yang dipikul oleh pemiliknya.

Namun, apakah keunikan senjata orang Melayu itu, sehinggakan sampai hari ini, keris terus menjadi lambang kegagahan dan identiti bangsa tertua di rantau Asia Tenggara.

Bagi mengenali keunikan keris, kita mestilah mengetahui sejarah kewujudan senjata itu terlebih dahulu. Satu makalah tulisan Mahyudin Al-Mudra terbitan Universiti kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Melacak Asal-Usul Keris dan Peranannya dalam Sejarah Nusantara memberitahu, terdapat banyak teori tentang asal-usul kewujudan keris.

Teori pertama pernah ditemukan oleh G.B Gardner dalam bukunya, Keris and Other Malay Weapon pada 1936.

Dalam buku itu, beliau menyatakan keris adalah senjata hasil daripada inovasi senjata tikam zaman pra-sejarah yang diperbuat daripada tulang ikan pari.

Namun, teori tersebut telah dinafikan dalam catatan Harsinuksmo pada 2004 kerana teori Gardner didakwa banyak kelemahan dan bertentangan dengan tradisi pembuatan keris di Indonesia.

Teori kedua pula dikemukakan oleh Griffith Wilkens yang mendakwa keris adalah senjata yang wujud sejak kurun ke-14 hingga ke-15 sebagai inovasi daripada senjata tombak.

Alasannya, bentuk hujung tombak adalah pendek dan menyerupai bentuk keris, selain mudah dibawa dan ringan.

A. J. Barnet Kempers turut mengemukakan teorinya dengan menyatakan tradisi pembuatan keris di Nusantara dipengaruhi oleh kebudayaan perunggu dari Dongson, Vietnam pada kurun ke-3.

Catatan dalam makalah tersebut juga menyatakan keris mula wujud di Jawa sejak kurun ke-5 berdasarkan penemuan artifak berhampiran candi-candi di sana.

Malah, ukiran lukisan senjata tikam dipanggil Keris Buda yang ditemukan di sana dianggap sebagai prototaip keris dan menjadi acuan keris yang ada pada hari ini, sekali gus mendakwanya sebagai keris pertama di nusantara.

Perkembangan penggunaan keris sehingga ke seluruh pelusuk Kepulauan Melayu (Malay Archipelago) dapat dilihat menerusi pemerintahan Jawa yang berpindah ke Jawa Timur, kemudian kemunculan Kerajaan Majapahit pada kurun ke-13.

Makalah tulisan Mahyudin Al-Mudra yang merujuk kepada catatan Garret dan Solyom pada 1978 menyatakan, perkembangan dan perluasan kuasa oleh kerajaan di nusantara dahulu memberi pengaruh besar kepada penyebaran penggunaan keris sehingga ke kawasan seperti Malaysia, Brunei, Filipina dan Kemboja.