Tinjauan Utusan Online di beberapa pusat pameran kereta di sekitar Chan Sow Lin mendapati, masing-masing hanya memiliki pamplet lama dengan harga sifar cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Ujar seorang perunding jualan Toyota, Leeza Zahari, harga baharu yang dikenakan SST juga belum dapat dikemukan kepada pelanggan.

“Apa yang boleh kami kongsikan, memang ketika ini kebanyakan pusat jualan tidak memiliki stok kereta.

“Namun bagi pelanggan yang sempat membuat pendaftaran untuk membeli kereta selewat-lewatnya Khamis lepas, mereka masih berpeluang mendapatkan harga tanpa GST,” katanya ketika ditemui Utusan Online, di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, Leeza turut memberitahu tempoh sebenar kenderaan tersebut dapat diserahkan kepada pelanggan tidak dapat dijanjikan kerana stok kereta telah habis.

Sementara itu, perunding jualan Proton, Aiza Kamaruddin turut memberi maklum balas yang sama bahawa harga baharu belum diterima di mana-mana cawangan.

Tambahan pula, semalam adalah cuti umum 31 Ogos dan hari ini serta esok pula masih merupakan hari minggu.

“Kalau tiada apa-apa, mungkin Isnin akan kami terima info tetapi ditegaskan itu kemungkinan sahaja dan bukannya satu janji. Yang pasti ketika ini, memang kereta ketiadaan stok.

“Dalam masa yang sama, saya juga tidak galakkan pelanggan untuk berbuat apa-apa urusan ketika ini kecuali tinggalkan nombor telefon untuk kami hubungi semula setelah mendapat harga baharu nanti,” katanya.

SST adalah satu cukai yang dilaksanakan semula oleh kerajaan bagi menggantikan GST dan ia melibatkan 5,612 barangan dengan nilai sebanyak 10 peratus.

Selebihnya, 793 barangan lagi memiliki cukai jualan dengan nilai sebanyak lima peratus. - UTUSAN ONLINE