Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, model pertama kereta terbang tersebut tidak akan dijual kepada orang ramai atas faktor harga namun ia sesuai bagi syarikat pengangkutan seperti Grab dan sebagainya bagi membantu meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam.

Menurutnya, prototaip kereta terbang yang dibuat menggunakan kepakaran tempatan itu juga telah mendapat banyak maklum balas serta minat daripada syarikat-syarikat gergasi dunia untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

"Ini merupakan satu perkembangan positif sekali gus berupaya menarik pelaburan dan keyakinan pihak luar terhadap Malaysia. Kita buat bukan untuk dijual (kepada orang awam) seperti contohnya kereta Formula Satu (F1), orang tak beli, tapi naik sahaja. 

"Setakat ini, saya telah dihubungi syarikat gergasi dunia bertanyakan mengenainya dan mahu melihat pelan tindakan (blue print) sekali gus memberi keyakinan dalam pembangunan berskala aero angkasa," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyampaikan hadiah kepada peserta Larian DT-X sempena Karnival Keusahawanan 2019 Kampung Beringin, Durian Tunggal, di sini, sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE