Presiden Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abdul Rahman berkata, ini kerana sebahagian peruntukan itu harus tertumpu kepada penggunaan teknologi terkini dan juga aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Dengan itu ujarnya, kereta yang dihasilkan kelak lebih berkualiti dan setanding kenderaan jenama asing yang lebih maju dari segi teknologi.

“Cuma persoalannya ialah bila kerajaan nak buat? Ini penting kerana teknologi berkembang dengan sangat pantas. Hari ini bincang, esok lusa teknologi sudah bertukar. Atas sebab itu, kita perlukan belanja yang besar untuk melabur dalam R&D.

“Misalnya, kereta-kereta di negara-negara Eropah sudah bergerak ke arah hibrid dan elektrik, kita juga harus bergerak ke arah ini dan tidak boleh lagi mengeluarkan kereta seperti Proton atau Perodua. Jika tidak, kita akan ketinggalan jauh ke belakang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Jun lalu, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menghadiri Persidangan Antarabangsa mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei Ke-24 di Jepun menyuarakan hasrat untuk memulakan projek kereta nasional baharu.

Menurutnya, Proton bukan lagi kereta nasional dan cita-cita beliau adalah untuk memulakan kereta nasional (baharu) bersama rakan usaha sama di rantau ini seperti Jepun, China, Korea Selatan dan Thailand.

Namun hasrat untuk me­laksanakan projek kereta nasional terbaharu, selepas Proton dan Perodua yang disebut-sebut sebagai ‘Pe­rotiga’, menjadi ‘perdebatan’ dalam kalangan pengguna khususnya di media sosial kerana dianggap tidak bertepatan ketika industri automotif negara sudah berkembang maju.

Malah, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad juga dipetik sebagai berkata, Malaysia tidak memerlukan satu lagi kereta nasional baharu memandangkan industri automotif negara sudah berkembang maju manakala dari segi skala ekonominya pula, pasaran kenderaan tempatan dilihat kecil.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Adli Amirullah berkata, kerajaan tidak perlu campur tangan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam usaha tersebut sekiranya mahu melihat syarikat kereta nasional ketiga boleh direa­lisasikan.

Katanya, kerajaan sebaliknya perlu memberi fokus kepada soal persaingan kerana ia mempunyai banyak kaedah bagi memastikan pemain industri kekal kompetitif tanpa mewujudkan pemain pasaran yang baharu.

Satu daripada mekanisme tersebut, menurutnya, ialah mengurangkan duti ke atas kereta import bagi mengurangkan harga dan meningkatkan motivasi pengeluar kereta tempatan supaya menghasilkan produk yang berkualiti.

“Tetapi kita tidak harus menyekat mana-mana pemain industri yang memasuki pasaran jika mereka ada kapasiti untuk berbuat demikian tetapi kerajaan jangan masuk campur dan tidak perlu terlibat dalam proses penubuhan syarikat kenderaan nasional ketiga.

“Dalam masa sama, kerajaan juga mempunyai hala tuju yang jelas mengenai perancangan mereka. Malaysia pula perlu terbuka kepada perdagangan dan melihat kepada persaingan berbanding mengharapkan sokongan kerajaan secara langsung, bagi memba­ngunkan industri kereta domestik yang kompetitif,” katanya.