Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia sebagai nilai tambah pembinaan projek kereta api berkelajuan tinggi antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Menurut beliau, penyediaan kemudahan untuk pergerakan barangan dan penumpang amat penting bagi meningkatkan nilai perdagangan dua hala yang di­sasarkan berjumlah AS$30 bilion (1 trilion baht) menjelang 2018.

“Peningkatan aktiviti menerusi pembinaan projek ini akan menyuburkan sektor ekonomi Malaysia dan Thailand.

“Kedua-dua kerajaan bersetuju supaya agensi-agensi yang berkaitan memulakan perbinca­ngan mengenai pembinaan projek ini,” katanya dalam sidang akhbar bersama rakan sejawatannya, Prayut Chan-o-cha.

Persetujuan mengenai perkara itu dicapai dalam Rundingan Tahunan Ke-6 Malaysia-Thailand yang berlangsung di Rumah Kerajaan, di sini hari ini.

Projek pembinaan kereta api berkelajuan tinggi antara Kuala Lumpur dan Singapura sepanjang 350 kilometer dijangka siap 2026.

Mengenai pembinaan jambatan menghubungkan Kelantan dan wilayah Narathiwat merentasi Sungai Golok, kedua-kedua kerajaan bersetuju untuk mempercepatkan pembinaannya pada tahun depan.

Beliau berkata, selain untuk kepentingan perhubungan antara rakyat di situ, jambatan ber­kenaan juga sebagai simbol persahabatan antara Kuala Lumpur dan Bangkok.

Katanya, usaha menaik taraf Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam dan Sadao juga akan dipercepatkan memandangkan 70 peratus perdagangan antara kedua-dunia negara adalah menerusi laluan itu. – utusan