Hal ini supaya, satu meka­nisme baharu dapat menjadi rujukan kepada semua golo­ngan penutur dalam menentukan aras pencapaian penggunaan bahasa sekali gus memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia.

Pensyarah cemerlang, Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM), Lokman Abd.Wahid berkata, hal demikian ke­rana bahasa Melayu masih belum mempunyai sebarang instrumen yang dapat mengukur tahap kompetensi penggunaannya dalam kalangan penutur.

“Dalam bahasa Inggeris, ada instrumen Common European Framework of Reference for Languages (CEFRL) yang digunakan sebagai rujukan untuk membina instrumen seperti International English Language Testing System (IELTS) dan Test of English as a Foreign Language (TOEFL).

“Jadi, dalam Bahasa Melayu, kita masih belum ada sebarang instrumen sedangkan sudah ada 200 juta penutur Bahasa Melayu di dunia dan diiktiraf sebagai bahasa kelima yang mempunyai jumlah penutur bahasa yang ramai.

“Justeru, kerangka ini bertujuan menyeragamkan penggunaan bahasa kerana selama ini di negara kita penilaian dibuat atas persepsi masing-masing dan perkara ini akan menimbulkan spekulasi sama ada instrumen yang digunakan itu sah atau tidak. Jika setiap institusi menggunakan instrumen sama, maka, masalah-masalah itu tidak akan timbul,” katanya baru-baru ini.

Menurut Lokman, KSBM sudah siap sebanyak 80 peratus dan hasilnya akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan pada hujung tahun ini.

“Keputusan penggunaan akan ditentukan oleh pihak kementerian sepenuhnya sama ada diguna pakai di sekolah dahulu kerana kita tidak sewenang-wenangnya menggunakan instrumen ber­kenaan tanpa sebarang kebenaran.

“Sebanyak 18 orang panel dari pelbagai institusi pengajian tinggi seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Tenaga Nasional (Uniten), IPGKBM serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terlibat dalam menghasilkan kerangka ber­kenaan.

“Malah, baki sebanyak 15 peratus akan diisi menerusi siri je­rayawara, seminar, pembentangan kertas kerja dan gerak jangkau yang diadakan di seluruh negara. Tambahan pula, kerangka itu tidak khusus untuk bidang pendidikan semata-mata tetapi merangkumi semua bidang se­perti kewartawanan, pengambilan pekerja asing dan penilaian bahasa terhadap pekerja kolar biru,” jelasnya.

Dalam pada itu, Lokman menambah, proses menghasilkan instrumen itu sangat agresif bermula awal tahun ini.

“KSBM bertujuan memba­ngunkan kursus bagi semua peringkat dan golongan penutur. Selain itu, ia sebagai membina bahan pem­belajaran, penjelasan kepada polisi bahasa serta program latihan perguruan.

“Terdapat dua dimensi iaitu pemerolehan dan penguasaan se­perti kata, frasa, klausa, ayat dan wacana manakala kemahiran bahasa merangkumi kemahiran mendengar, membaca, menulis dan bercakap.

“Kedua-dua perkara berkenaan, diikat dengan tiga elemen iaitu kognitif (bahasa), psikomotor (cara bagaimana kemahiran bahasa dipamerkan) serta afektif (bahasa berbudaya). Malah, KSBM mengandungi sebanyak enam penanda aras seperti paling cekap sehingga sangat terbatas bagi menilai kecekapan berbahasa seseorang penutur,” ujarnya.