Bukan sekadar menzahirkan kebimbangan terhadap perjanjian yang didakwa boleh memberi kesan negatif kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dalam platform media sosial atau pun forum intelektual, satu memorandum bantahan telah pun diserahkan kepada wakil kerajaan.

Dalam proses menghantar memorandum itu di Parlimen hari ini, satu perhimpunan aman turut diatur oleh Gerakan Pembela Ummah (Ummah) yang dikatakan memayungi hampir 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam di negara ini.

Berarak dari Padang Merbok ke laluan masuk Parlimen de­ngan jarak hampir satu kilometer, hampir 200 peserta daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang mengambil bahagian menzahirkan rasa tidak setuju dengan komitmen kerajaan untuk meratifikasi ICERD.

Sepanduk bantahan seperti Pertahankan hak bumiputera, Pertahankan Perlembagaan negara, Pertahankan kuasa raja-raja dan Jangan cabar Perkara 153 turut diangkat sebagai manifestasi kebimbangan ratifikasi konvensyen antarabangsa itu.

Wakil-wakil rakyat, khusus­nya Pas diketuai Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat me­nyambut kehadiran peserta perhimpunan sepanjang perjalanan melaungkan bantahan terhadap konvensyen itu.

Beberapa pemimpin NGO se­perti Ketua Sekretariat Ummah, Aminuddin Yahaya; Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa dan aktivis Semboyan 1Malaysia, Yusuf Azmi turut kelihatan mengetuai perhimpunan itu.

Kemuncaknya apabila sebuah keranda diusung masuk ke dalam perhimpunan yang dipercayai sebagai simbolik kepada penghapusan hak orang Melayu dan bumiputera seperti termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sekiranya ICERD diratifikasi.

Walau bagaimanapun, perhimpunan itu berlangsung secara aman dan tiada sebarang kekecohan yang timbul.

Memorandum bantahan juga berjaya diserahkan kepada wakil ahli Parlimen iaitu Tuan Ibrahim dan wakil kerajaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Md. Farid Md. Rafiq.

Seramai 10 wakil gerakan tersebut juga dibawa masuk ke Parlimen untuk membincangkan isu dan melontarkan pandangan mengenai ratifikasi ICERD itu dengan pihak bertanggungjawab.