Prestasi ‘Auba’ yang cukup hebat membuatkan dia wajar menjadi perhatian. Apa tidaknya, dia telah menjaringkan 98 gol dalam 144 perlawanan Bundesliga dan secara keseluruhannya menghasilkan 172 gol dalam 213 perlawanan ketika bersama Dortmund.

Selain pencapaian hebatnya sebagai mesin penjaring gol, penyerang berusia 28 tahun itu sentiasa menjadi tarikan setiap kali berada di padang kerana perangai gila-gilanya.

Minat melampau Aubameyang terhadap watak superhero seperti Spriderman dan Batman tidak sekadar berakhir di hadapan televisyen tetapi turut dibawa hingga ke padang, malah penyerang antarabangsa Gabon itu pernah didenda oleh kerana sikap gila-gilanya.

Sewaktu bersama kelab lamanya Dortmund, Aubameyang pernah beberapa kali memakai sarung muka Spiderman ketika meraikan jaringannya.

Semuanya bermula kerana mahu menunaikan hajat anaknya Curtys yang mahu melihat watak superhero itu beraksi di atas padang.

Kali pertama Aubameyang memakai sarung muka Spiderman adalah ketika menjaringkan gol dalam perlawanan Supercup menentang Bayern Munich pada 2014 dan gelagatnya itu membuatkan Curtys amat teruja terhadap bapanya.

Reaksi diberikan oleh Curtys membuatkan Aubameyang menjadi lebih bersemangat untuk melakukannya sekali lagi namun untuk kali kedua ini dia menyarung topeng Batman pula.

Bosan kerap menyarung sarung muka Batman dan Spiderman membuatkan Aubameyang cuba mencari kelainan. Namun kelainan yang cuba dilakukannya pada awal musim ini telah membawa padah apabila dia didenda hampir 50,000 euro (RM241,767) kerana memakai topeng yang dikatakan ditujukan khas kepada penaja Nike iaitu jenama kasut dipakainya.

Tindakan Aubameyang itu menimbulkan konflik antara penaja utama Dortmund iaitu Puma dengan Nike dan selepas insiden itu dia sudah tidak sekerap dahulu memakai topeng ketika meraikan jaringan.

Selain sikap gila-gila di atas padang, Aubameyang turut digelar sebagai Mr. Glamor kerana minatnya yang mendalam terhadap sesuatu yang bersinar-sinar.

Pemain Terbaik Afrika pada 2015 itu pernah menempah kasut bola khas dengan 4,000 kristal Swarovski sehingga membuatkan mereka yang memandang menjadi silau.

Bukan itu sahaja, hampir kebanyakan kasut bola miliknya ditempah khas dengan corak tertentu seperti nama pasukannya serta namanya sendiri dan nombor jersi dipakai.

Dia menyarung topeng Spiderman, Batman, memakai kasut berkilauan dengan gaya mengalahkan seorang artis namun hatinya tetap meminati bola sepak.

Rakan rapat penyerang itu, Christophe Jallet memberitahu Aubameyang mempunyai keperibadian yang baik sebagai seorang pemain kerana dia tidak gemar dengan hiburan tidak sihat.

“Dia seorang yang baik, bukan seorang pemabuk, bukan seorang yang gemar ke kelab malam sebaliknya sentiasa bermimpi tentang bola sepak,” kata Jallet.