Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, beliau telah menyemak angka awal akaun kewangan bagi tahun 2018 yang sudah ditutup dan mendapati bahawa kedudukan fiskal kerajaan dalam lingkungan 3.7 daripada KDNK.

Beliau berkata, kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) juga telah mencecah RM5.4 bilion iaitu 34 peratus lebih tinggi daripada sasaran awal sebanyak RM4 bilion.

"Oleh itu, laporan Nomura yang berpendapat bahawa defisit fiskal kerajaan bagi tahun 2018 akan meningkat ke 3.9 peratus daripada KDNK adalah tidak tepat dan jauh daripada kadar sebenar," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Guan Eng, pada masa yang sama, beberapa pembaharuan institusi telah dilakukan dan ia bercanggah dengan pendapat Nomura.

Jelasnya, antara langkah-langkah tersebut ialah pelaksanaan zero-based budgeting pada tahun ini untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan kerajaan secara serta-merta, implementasi tender terbuka di semua kementerian sejak tahun lalu untuk meningkatkan ketelusan dan kecekapan perbelanjaan kerajaan dan migrasi daripada perakaunan asas tunai kepada akruan.

Langkah-langkah lain ialah mengutamakan semula projek infrastruktur seperti MRT2, MRT2, LRT3 dan lain-lain untuk meningkatkan kemapanan kewangan projek tersebut, sambil mengurangkan beban kewangan kerajaan. Langkah-langkah ini telah menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM27 bilion.

Pembentukan Jawatankuasa Reformasi Cukai dan Jawatankuasa Kewangan awam untuk mempelbagaikan pendapatan kerajaan dan meneruskan konsolidasi fiskal tanpa menggugat pertumbuhan ekonomi.

"Kerajaan secara jelas telah menyatakan bahawa proses pembaharuan institusi ini akan memakan masa tiga tahun untuk disiapkan. Langkah-langkah baharu akan diumumkan pada tahun 2020 kelak dan ini akan berlangsung seiring dengan langkah-langkah yang telah diperkenalkan semasa Belanjawan 2019," jelasnya.

Jelas Guan Eng lagi, kerajaan telah berkongsi perkara yang sama tentang tempoh masa yang diperlukan untuk menyempurnakan pembaharuan tersebut termsuk kepada agensi-agensi penarafan kredit antarabangsa iaitu Fitch Ratings, Moody's dan S&P.

Malah, beliau menekankan bahawa hanya 19.5 peratus daripada pendapatan kerajaan dijangka berasal daripada sumber petroleum pada tahun ini, tanpa mengambil kira one-time dividen khas sebanyak RM30 bilion daripada Petronas, jauh lebih rendah berbanding 41.3 peratus pada tahun 2009.

"Ini bermakna, walaupun sumber petroleum masih penting sebagai pendapatan kerajaan, kepentingannya semakin berkurangan. Para penganalisis perlu mengambil konteks ini apabila memikirkan tentang kejatuhan harga minyak mentah dunia," katanya. - UTUSAN ONLINE