Menurutnya, maklumat tambahan mengenai cara kementeriannya menggunakan peruntukan itu akan diumumkan Isnin depan.

Anthony Loke
ANTHONY LOKE

"Kita akan lancarkan inisiatif ini tidak lama lagi dan perkhidmatan itu akan dimulakan seperti diumumkan iaitu pada 1 Jan 2019," katanya kepada media selepas pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pembentangan be­lanjawan itu, Guan Eng berkata, kerajaan memperuntukkan RM240 juta untuk memperkenalkan pas bulanan RM100 tanpa had perjalanan meliputi perkhidmatan rel dan bas RapidKL mulai 1 Jan 2019.

Sementara itu, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, hampir sejuta pengguna dijangka mendapat manfaat daripada pengenalan pas bulanan berkenaan.

Kata syarikat berkenaan, inisiatif tersebut dapat menggalakkan warga kota menggunakan pengangkutan awam, sekali gus mengurangkan kesesakan dan jumlah kenderaan bertepatan dengan aspirasi kerajaan ke arah Kuala Lumpur bandar raya rendah karbon.

Prasarana bertekad untuk membaiki jaringan per­khidmatan bas­nya dengan mengguna­kan sepenuhnya aset terkini yang merangkumi 1,131 bas Rapid KL, 408 bas Ra­pid Penang, 69 bas Rapid Kuantan dan 300 bas perantara Transit Aliran Massa (MRT).

Selain itu, Prasarana juga mengalu-alukan hasrat kerajaan meneruskan projek LRT 3 sepanjang 37 kilometer de­ngan pengurangan kos daripada RM31.6 bilion kepada RM16.6 bilion.

Syarikat itu juga yakin projek LRT 3 akan melengkapkan rangkaian pengangkutan awam bandar bagi koridor Bandar Utama melalui Shah Alam hingga ke Klang. – BERNAMA