Perdana Menteri bagaimanapun menjelaskan RCI berkenaan masih belum memiliki sebarang terma yang mana perkara itu akan ditetapkan kemudian.

“Ya, kami akan menubuhkan RCI dan kini terpulang kepada mereka untuk melihat kesalahan yang dilakukan oleh hakim berkenaan.

“Kita belum buat keputusan menggenainya lagi (terma), kita tubuhkan RCI manakala termanya akan ditentukan kemudian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Baru-baru ini, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer mendakwa wujud campur tangan dalam kes-kes mahkamah termasuk melibatkan kes peguam terkenal, Karpal Singh yang didakwa atas tuduhan menghasut.

Tuduhan terhadap badan kehakiman negara dinyatakan dalam afidavit sokongan setebal 65 muka surat.

Dakwaan Hakim Hamid Sultan itu dibuat dan dinyatakan dalam afidavit yang diikrarkan oleh anak perempuan mendiang Karpal Singh, Sanggeet Kaur Deo.

Pada 14 Januari lalu, Sangeet yang juga peguam memfailkan saman itu bagi memohon perintah deklarasi bahawa Ketua Hakim Negara gagal dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Badan Kehakiman Malaysia untuk mempertahankan integriti dan kewibawaan badan kehakiman apabila gagal menyempurnakan siasatan dalaman berhubung keputusan rayuan membabitkan kes hasutan mendiang bapanya dan juga kes guru tadika M. Indira Ghandi. - UTUSAN ONLINE