Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) di sini hari ini berkata, skop SEP adalah menyeluruh dalam penyelesaian pelbagai jenis bencana sama ada yang sering berlaku atau dijangka melanda Malaysia.

“Ada pakar dalam bidang ma­sing-masing bagi setiap jenis bencana untuk memberi khidmat nasihat dan kepakaran, sebelum, semasa dan selepas kejadian bencana berlaku,” kata kementerian itu.

Mesyuarat NSC yang merupakan jawatankuasa tertinggi tadbir urus Sains Teknologi dan Inovasi (STI) negara, hari ini dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

MOSTI dan Pejabat Penasihat Sains bertindak sebagai urus setia bersama NSC.

Kenyataan MOSTI itu menyebut bahawa mesyuarat NSC itu juga bersetuju supaya Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengambil langkah transformasi menjadi sebuah institut penyelidikan perubatan setanding dengan institut-institut terkemuka dunia.

IMR ditubuhkan sebagai Institut Patologi pada tahun 1900 bertujuan untuk menjalankan penyelidikan terhadap pelbagai jenis penyakit.

Menurut kenyataan itu, Najib menyatakan hasrat mahu melihat IMR bukan sahaja mengembalikan zaman kecemerlangannya sebagai sebuah institut penyelidikan perubatan ulung di rantau tropika tetapi muncul sebagai institut perubatan terkemuka di dunia.

Kenyataan itu menyebut Najib mahu IMR setaraf dengan NIH - National Institute of Health (USA); MRC - Medical Research Council (United Kingdom); Pasteur Institute (Perancis); FIOCRUZ - Oswaldo Cruz Foundation (Brazil); dan QIMR - Queensland Institute of Medical Research (Australia); Karolinska Institute (Sweden).

Menurut kenyataan MOSTI, NSC hari ini turut dimaklumkan tentang status penyediaan Pelan Tindakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Nasional.

Mesyuarat NSC pada Mac lepas memutuskan supaya MOSTI bersama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi menggubal suatu pelan tindakan STEM yang bersepadu.

Ini adalah untuk menjamin Malaysia, sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020, mempu­nyai bekalan modal insan berpendidikan STEM yang mencukupi bagi memenuhi permintaan tenaga kerja, di samping mewujudkan masyarakat yang memahami STEM.

Menurut kenyataan MOSTI itu, ketiga-ketiga kementerian telah mengadakan dialog dengan pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklum balas awal.

Katanya program dan aktiviti di bawah pelan itu akan diperincikan berteraskan kepada lapan bidang fokus utama.

Ia melibatkan penyeragaman dasar; pembangunan kapasiti guru dan pensyarah; naik taraf fasiliti; peluang kerjaya graduan STEM; pembudayaan aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R(amp)D(amp)C(amp)I); pembangunan satu pangkalan data STEM; penambahbaikan program kesedaran STEM dan kerjasama strategik di peringkat global.

MOSTI berkata draf awal Pelan Tindakan STEM Nasional dijangka siap pada Januari tahun depan (2017) untuk pembentangan kepada NSC. – BERNAMA