Beliau berkata, kegiatan tersebut sebenarnya berpunca daripada ketandusan dan kedangkalan pengetahuan tentang ilmu Islam hingga menjerumuskan seseorang itu kepada perbuatan yang jauh menyimpang daripada ajaran Rasulullah SAW yang berasaskan kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Antaranya beliau berkata, kegagalan memahami istilah serta pengertian jihad tanpa mengetahui maksudnya dengan lebih mendalam hingga menyebabkan pengertian mujahadah telah disalahtafsirkan.

“Perjuangan dan pengorbanan yang diajarkan oleh Islam bukanlah seperti yang sering terjadi termasuklah menjadi pengebom berani mati. Sesungguhnya perbuatan itu dilarang keras di sisi Islam,“ katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1436 Hijrah/2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Tema sambutan maal hijrah bagi tahun ini ialah Perpaduan Nadi Transformasi Negara.

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.

Dalam majlis tersebut Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman, 76, telah diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi tahun ini.

Perdana Menteri berkata, dalam sejarah Islam pernah dicatatkan selepas peperangan Badar, begitu banyak orang Islam ingin keluar berjihad ke medan juang kerana mahu tegakkan Islam dengan mata pedang.

“Namun melalui mafhum surah at-Taubah ayat 122 antara lain membawa maksud bahawa tidak perlulah semua orang tertumpu ke medan jihad atau peperangan kerana jihad juga adalah berada di pangkalan atau medan bakti untuk urusan-urusan lain.

“Terutamanya demi membangunkan modal insan dan memakmurkan negara serta menjaga kebajikan rakyat terbanyak,“ katanya.

Najib berkata, menurut jumhur ulama, itulah yang menjadi fiqh keutamaan dalam konteks sesebuah negara.

“Oleh itu bolehlah disimpulkan bahawa jihad yang lebih afdal atau utama kepada kerajaan kini adalah berada di pangkalan yakni plattform pentadbiran dan pemerintahan demi memakmurkan negara berasaskan Ekonomi Keperluan Rakyat katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, amalan Islam di Malaysia adalah bersifat sejagat, tidak bersifat ekstremis serta pemahamannya adalah melalui ilmu pengetahuan dan hukum-hakam yang jelas dalam penghayatan penuh sederhana.

Walau bagaimanapun bukanlah pula bermaksud kita sampai melonggarkan agama hingga ke tahap menjadi liberal. Perkara inilah yang perlu difahami dan dihadami baik-baik oleh seluruh umat Islam khususnya di Malaysia,” katanya lagi.