Beliau berkata, kementerian sentiasa mementingkan kualiti pendidikan yang ditawarkan di setiap universiti dan tidak akan berkompromi dengan kualiti yang ditawarkan oleh universiti awam dan swasta di tanah air.

“Kami sedang selidik sebenarnya (perkara itu) supaya tidak ada silap faham, jika ada kesilapan kami akan terus tambah baik,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapta­ma pada Pameran Pendidikan Tinggi Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan The Times of Oman yang menyebut bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi Oman tidak membenarkan pelajar mereka menuntut di empat universiti di Malaysia.

Menurut laporan Jawatankuasa Pengiktirafan Institusi Pengajian Tinggi Luar-Oman dan Kesesuaian Kelayakan Pendidikan, telah mengeluarkan keputusan untuk berhenti berurusan dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Limkokwing University of Creative Technology, Binary University of Management & Entrepreneurship dan SEGI University.

Laporan itu menyatakan, keputusan itu dibuat selepas merujuk pelbagai ‘kegagalan’ yang dikaitkan dengan IPT berkenaan. Seramai 378 pelajar Oman menuntut di empat universiti berkenaan.

Idris berkata, pihak kementerian sentiasa memantau kualiti pendidikan tinggi yang ditawarkan di negara itu bagi memastikan ia mencapai tahap yang ditetapkan.

Terdahulu, dalam ucaptama­nya bertajuk Mencorakkan Semula Pendidikan Tinggi untuk Masa Depan dan Renovasi Industri ke-4: Pengalaman Malaysia-Indonesia, Idris berkata, renovasi industri itu tidak akan menyebabkan kehila­ngan pekerjaan sebaliknya akan mencipta kerja-kerja baharu.

Mengenai pameran pendidikan tinggi Malaysia itu, Idris yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia berkata pihak­nya menyasarkan lebih ramai penuntut Indonesia melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi di Malaysia.

“Kini terdapat 9,000 penuntut Indonesia di Malaysia dan kami harap jumlah itu akan bertambah menjadi 11,000 atau 20,000 pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata, sasaran pame­ran itu adalah untuk menarik pelajar yang tamat sekolah menengah atas di Indonesia memilih untuk melanjutkan pengajian di Malaysia memandangkan apa yang ditawarkan di universiti-universiti di negara barat boleh diperoleh di Malaysia dengan kos yang lebih murah.

Pameran pendidikan tinggi itu disertai Universiti Malaysia Pahang (UMP); Universiti Malaysia Perlis (Unimap); Universiti Sultan Zainal Abdidin (UniSZA); Universiti Malaysia Terengganu (UMT); Universiti Tun Hussein Onn (UTHM); Universiti Teknikal Malaysia (UteM); Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM); Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Sarawak Malaysia (Unimas).

Universiti swasta pula ialah Ma­nagement and Science University (MSU); Lim Kok Wing University; Asia Pasific University of Tecnology & Innovation (APU); Taylors College; SEGI University: HELP University; dan Meritus University.

Pagi ini, Idris mengadakan pertemuan dengan Menteri Penyelidikan Teknologi dan Pendidikan Tinggi Indonesia, Prof. Mohamad Nasir bagi membincangkan usaha untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi antara Malaysia dan Indonesia. – BERNAMA