Menteri Kewangan II, Datuk Se­ri Johari Abdul Ghani berkata, dalam setiap pembentangan bajet, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa meletak­kan permasalahan kos sa­ra hi­dup sebagai keutamaan.

Jelas beliau, kerajaan sentiasa peka dengan kesukaran yang dihadapi rakyat dan akan mencari kaedah terbaik bagi menangani perkara berkenaan berdasarkan ke­pada pendapatan kerajaan.

“Cukuplah (cukai sedia ada) buat masa ini. Kerajaan tidak berhasrat menambah lagi beban rakyat,” katanya selepas majlis pelancaran aplikasi GetCover di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Bukan Eksekutif GetCover Sdn. Bhd., Datuk Marcus Kam; Ketua Pegawai Eksekutif GetCover Sdn. Bhd., Paul Khoo dan Ketua Pegawai Pemasaran GetCover Sdn. Bhd., Mark Tan.

Johari menambah, asas-asas negara kekal kukuh berdasarkan peningkatan jumlah eksport, pertumbuhan positif Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK) serta kestabilan harga minyak mentah dunia.

Bagaimanapun katanya, Malaysia harus menilai faktor luaran seperti geopolitik kerana mampu memberi kesan kepada ekonomi secara tidak langsung.

“Ketegangan yang berlaku an­tara Amerika Syarikat dengan Korea Utara ketika ini menimbulkan situasi yang tidak menentu. Sekiranya berlaku perkara tidak diingini, ia bakal memberi kesan ekonomi kepada negara serantau,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain Johari berkata, aplikasi GetCover menawarkan perkhidmatan pembelian insurans motor menerusi telefon pintar daripada syarikat insurans seperti MPI Generali, LonPac dan Zurich Insurance & Takaful.