Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, kerajaan tidak akan sekali-kali membiarkan mana-mana pihak mengurangkan jumlah penjawat awam di negara ini atas apa juga alasan sekali pun.

“Itu sebabnya Perdana Menteri kerap memberi penekanan jika ada pihak yang mahu mengurangkan jumlah jawatan perkhidmatan awam, beliau adalah orang nombor satu yang akan mempertahankan perkhidmatan awam keseluruhannya. Ertinya, beliau amat memihak kepada penjawat awam.

“Apabila terdapat komitmen dari anggota pentabiran yang diketuai Perdana Menteri, tentunya kita sebagai penjawat awam perlu membalas komitmen itu dengan dukungan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap kerajaan dalam usaha perkasakan inisiatif-inisiatif yang dirancang demi rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Perhimpunan Bulanan dan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Dalam Negeri (KDN) 2017 di sini hari ini.

Ditanya samada bilangan penjawat awam ketika ini mencukupi, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, jumlahnya ketika ini berada pada tahap yang optimum.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) akan berusaha memastikan kemenangan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, majoriti itu perlu diperoleh meskipun dengan pelbagai kekangan dan cabaran yang sedang dihadapi terutama daripada pihak lawan.

“Saya sebutkan bahawa dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 dan Ke-13, kita telah ‘terhentak ke dinding’ dan kita tidak mahu terhentak buat kali ketiga. Maka kita berusaha keras dan bijaksana untuk menentukan bahawa kita peroleh majo­riti dua pertiga,” katanya.