Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sebanyak lapan projek PPR dirancang di negeri ini termasuk 1,000 unit yang telah siap di Kota Bharu serta 418 unit yang dalam proses pembinaan di daerah ini.

Beliau berkata, projek yang menyentuh hati dan perasaan rakyat itu merupakan sebahagian daripada janji Barisan Nasional (BN) untuk penduduk Kelantan sebelum ini.

“Hari ini saya melancarkan projek PPR yang telah saya janji­kan beberapa tahun lalu. Projek ini melibatkan kos sebanyak RM75 juta untuk 418 unit dan insya-Allah proses pembinaan sedang berjalan lancar dan dijangka siap pada awal 2019.

“Sebanyak lapan projek PPR akan dilaksanakan di negeri ini termasuk di sini. Lazimnya harga untuk setiap unit RM35,000 dan kerajaan akan memberi subsidi antara RM80,000 sehingga RM120,000 bergantung kepada kos tanah dan kontraktor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Machang di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Machang, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar Wilayah dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang juga Ahli Parlimen Machang.

Sementara itu, Najib berkata, kerajaan pimpinannya tidak pernah mengamalkan dasar meng­hukum negeri ini sebaliknya me­nganggap rakyat Kelantan adalah umat Islam dan rakyat Malaysia yang perlu dibela.

“Datuk Pa (Mustapa) ingatkan kepada saya, kalau diukur dari segi peruntukan, saya beri lebih daripada yang lain termasuk yang pernah memimpin negara selama 22 tahun. Di bawah Rancangan Malaysia kelapan (RMK-8) hanya RM3.36 bilion untuk Kelantan, di bawah RMK-11 sebanyak RM12.87 bilion, hampir empat kali ganda peningkatan.

“Kita bina lebuh raya, jamba­tan, lapangan terbang, perumahan dan hospital, saya bagi semuanya untuk apa? Supaya kita mesti berlaku adil ketika kita memimpin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meluluskan peruntukan sebanyak RM8.53 juta untuk pembangunan daerah ini yang membabitkan pembinaan jalan perhubungan desa sebanyak RM5 juta; kemudahan ameniti sosial (RM2 juta) dan projek khas membaik pulih masjid serta surau berjumlah RM1.53 juta.