Irmohizam Ibrahim

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim (gambar) berkata, tindakan itu membuktikan kerajaan sangat prihatin, peka dan memberi keutamaan kepada isi hati serta aspirasi nelayan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor percaya, keputusan itu menjadi bukti kerajaan bukan sekadar mendengar, tetapi memahami serta mencari penyelesaian kepada permasalahan rakyat.

“Berikutan itu, Pas Pelaut yang diuruskan oleh Jabatan Perikanan boleh diteruskan dan segala isu mengenai permasalahan nelayan dapat diatasi dengan segera. Semoga golongan nelayan juga dapat memberi kerjasama kepada kerajaan dalam menyediakan sumber protein.

“Kerajaan telah banyak me­nyalurkan bantuan dan apa yang diharapkan adalah kerjasama pihak nelayan untuk membantu Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dan LKIM menangani isu kenaikan harga ikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, DatuK Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meng­umumkan pelaksana­an sistem PLKS untuk nelayan menggaji pekerja asing yang sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Mac ini ditangguhkan.

Berikutan itu, Ahmad Zahid memberitahu, kerajaan bersetuju mengekalkan sistem lama iaitu nelayan hanya perlu mendaftarkan pekerja asing menerusi sistem Pas Pelaut yang disahkan oleh Jabatan Perikanan.

Mengulas lanjut, Irmohizam berharap golongan nelayan dapat membentuk ikatan yang baik de­ngan pihak kerajaan serta agensi-agensinya.

“Hubungan ini akan dapat mengeratkan persefahaman dalam menangani isu-isu yang berkait dengan permasalahan nelayan,” jelas beliau.