Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, sekiranya isu tersebut semakin teruk dan tidak terkawal, ia akan terus menyebabkan hasil tangkapan nelayan terjejas.

Menurutnya, perkara itu sudah menjadi isu sejak dua tahun lalu dan mengancam kehidupan nelayan khususnya di Pantai Remis.

“Isu penggunaan bubu naga ini sudah lama namun tiada tindakan yang drastik diambil, jadi saya akan ambil perhatian isu ini.

“Saya juga akan mengadakan perbincangan dengan pegawai terlibat khususnya Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Interaksi bersama nelayan di Jeti Projek Pemasaran Ikan Dana Nelayan, Pantai Remis dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor.

Menurut Salahuddin, sekiranya perbincangan dengan Jabatan Perikanan dan LKIM memerlukan tindakan yang lebih kukuh, pihaknya akan membawa masalah itu ke mesyuarat Kabinet.

“Ia termasuklah penglibatan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Ma­ritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana kita tidak mahu masalah ini berlanjutan” katanya.

Bubu naga sepanjang lima hingga 10 meter mudah digunakan kerana ia hanya diletakkan di laut dan nelayan hanya mengutip hasilnya saja.

Sementara itu, mengenai status lesen nelayan pukat kenka atau pukat dua tunda yang akan berakhir pada tahun 2020, Salahuddin berkata, kementerian akan menunggu laporan daripada Jabatan Perikanan.

“Perkara itu masih dalam perbincangan dan kementerian menunggu laporan penuh supaya sebarang keputusan tidak merugikan mana-mana pihak,” katanya. - UTUSAN ONLINE