Pembinaan MRSM yang menawarkan program pengajian menghafal al-Quran yang baharu itu adalah di Semporna, Sabah; Bagan Datuk, Perak; Ketereh, Kelantan; Bera, Pahang dan Sik, Kedah.

Timbalan Perdana Menteri, Da­tuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat untuk mencapai hasrat melahirkan 125,000 hufaz (penghafal al-Quran) menjelang tahun 2050 berteraskan matlamat pendidikan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Empat MRSM Ulul Albab yang sedia ada masih tidak mencukupi untuk mencapai sasaran itu. Jadi kita tambah menjadi sembilan semuanya.

“Saya akan bantu sedaya upaya untuk memastikan MRSM Ulul Albab menjadi pemacu pembangunan umat,” katanya ketika ber­ucap merasmikan Konvensyen Ulul Albab MRSM di sini, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pengerusi Sementara MARA, Datuk Dr. Yusof Yacob dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad.

Program Ulul Albab mula diwujudkan di MRSM Kota Putra, Terengganu pada 2009 diikuti MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan (2010); MRSM Kepala Batas, Pulau Pinang (2011) dan MRSM Sungai Besar, Selangor (2016).

Selepas tujuh tahun program itu dilaksanakan, seramai 1,164 orang hafiz berjaya dilahirkan.

Sementara itu, konvensyen selama dua hari itu menghimpunkan kira-kira 1,000 hufaz yang terdiri daripada tenaga pendidik, pelajar dan bekas pelajar dengan matlamat untuk memahami Al-Quran secara lebih mendalam.

Ahmad Zahid berkata, pelaksanaan program Ulul Albab yang merupakan salah satu model baharu pembinaan generasi TN50 adalah jaminan untuk melahirkan golongan korporat dan teknokrat serta pemimpin yang arif tentang al-Quran dan isi kandungannya.

“Sebab itu hasrat kerajaan da­ripada sasaran TN50 bukan hanya untuk melahirkan ahli agama dan ulama semata-mata tetapi membangunkan intelektual daripada golongan profesional, cendikiawan atau saintis yang mengamalkan al-Quran.

“Kita juga berhasrat program seperti ini dapat menjayakan usa­ha kerajaan mengulamakan intelektual dan mengintelekkan ulama sebagaimana kita me­nyedari kepentingan kedua-dua bidang berkenaan,’’ katanya.

Jelasnya lagi, kekuatan bangsa Malaysia bukan hanya dikagumi kerana perpaduan kaum tetapi melalui pengisian pendidikan yang mementingkan kerohanian untuk melahirkan rakyat yang mempunyai sahsiah dan intelektual yang tinggi.

“Sebab itu kita lihat banyak negara melihat Malaysia sebagai negara contoh yang berjaya dalam pelaksanaan dasar pendi­dikan nasional dan pada masa yang sama tidak mengetepikan pendidikan Islam dan sangat menghormati agama lain,’’ ujar beliau.

Sementara itu secara berseloka, Zahid menyeru pemimpin dan pentadbir MRSM di seluruh negara berusaha dan bersedia untuk menaik taraf institusi masing-masing menjadi MRSM berstatus Ulul-Albab.

“Ini bukan paksaan atau arahan tapi demi kebaikan agama kita fikirlah sendiri untuk lak­sana­kannya. Jika tidak dapat tukar 100 peratus jadi Ulul-Albab, dapat 50 peratus pun sudah cukup baik.

“Saya harap program Ulul-Albab akan menjadi pemacu utama pembangunan ummah negara ini,’’ katanya.

Ahmad Zahid turut mengumumkan pelajar-pelajar yang menamatkan pengajian di MRSM Ulul Albab diberi keutamaan tajaan di bawah Skim Pelajar Cemerlang bagi melanjutkan pe­ngajian dalam bidang profesional, saintifik dan teknikal di universiti-universiti di seluruh dunia.