Menurut Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini, proses itu melibatkan perubahan skop tugas dan penambahan saiz tenaga kerja dengan 58 jawatan sepenuh masa.

“Peranan dan fungsi unit-unit sedia ada iaitu Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan (SITF), Sekretariat Khas Bagi Memperkasakan Usahawan India (SEED) dan Unit Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah Tamil (PTST) akan diserapkan ke dalam entiti pelaksana baharu ini,” kata kenyataan itu.

Pada 23 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia yang dirangka untuk membantu masyarakat ber­kenaan terutama golongan B40.

Menurut kenyataan itu, agensi pelaksana tersebut akan dipimpin oleh seorang ketua pengarah dan dibantu seorang timbalan ketua pe­ngarah.

Pejabat Perdana Menteri turut memaklumkan Perdana Menteri telah bersetuju dengan pelantikan Prof. Datuk Dr. N.S. Rajendran sebagai Ketua Pengarah SEDIC yang akan berkuat kuasa pada 22 Mei ini.

Najib sebelum ini mengumumkan pelantikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Jawatankuasa Khas Kabinet Masyarakat India (CCIC) yang jawatankuasa itu berpe­ranan memantau SEDIC. – BERNAMA