Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi menjayakan inisiatif tersebut, kerajaan menyediakan peruntukan khusus kepada syarikat pengangkutan bagi pengedaran barangan jualan KR1M 2.0 termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Katanya, dasar pengecualian kabotaj bagi pengangkutan di Sabah dan Sarawak juga membantu untuk memastikan harga di kedua-dua negeri tersebut tidak berbeza dengan harga jualan barangan di KR1M 2.0 di Semenanjung.

“Penyelarasan harga oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta penyerapan kos pe­ngangkutan akan menyamaratakan harga jualan barangan di seluruh negara.

“Oleh kerana bukan satu usa­ha yang memberikan sebuah syarikat sahaja yang mengendalikan KR1M, kita dapati kos pengangkutan dan margin keuntungan dapat dikurangkan, namun apabila rakyat merasakan harga di bawah pasaran, itu telah beri kesan yang cukup baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan premis KR1M 2.0 kategori kedai serbaneka di KK Super Mart, Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong.

Tambah Ahmad Zahid, pe­lak­sanaan KR1M 2.0 merupakan satu lagi inisiatif kerajaan yang bersifat kekal dan konsis­ten serta tidak bermusim bagi me­ningkatkan kuasa pembeli pengguna.

“Kita minta kementerian melakukan beberapa langkah drastik terutamanya dari segi penurunan harga mengikut kemampuan dan harga berada di bawah paras harga pasaran,’’ katanya.

“Dengan yang demikian, jemaah menteri juga telah bersetuju untuk memperluaskan KR1M 2.0 di Sabah dan Sarawak termasuk di kawasan pedalaman yang bersesuaian,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara.

Menurut Ahmad Zahid, penjualan barangan KR1M 2.0 yang menggunakan bungkusan asal produk yang berjenama dengan harga yang kompetitif juga menambahkan lagi keyakinan rakyat terhadap inisiatif tersebut.

“Strategi perniagaan ini membolehkan harga barangan KR1M 2.0 diturunkan kepada harga lebih berpatutan dan harga sebegini juga boleh dilaksanakan oleh pasar raya atau pekedai yang lain jika betul strategi perniagaannya.

“Penstrukturan KR1M 2.0 tidak memfokuskan kepada kedai fizikal yang khusus sebaliknya kini pasar raya atau kedai yang menjual produk KR1M 2.0 ialah pasar raya dan kedai yang sedia ada,” katanya.