Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, langkah itu diambil untuk memastikan penjawat awam juga serius dalam menjadikan pejabat mereka bebas daripada menyumbang kepada jumlah tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Beliau berkata pihaknya dengan Jabatan Kesihatan Negeri turut akan menguatkuasakan pemeriksaan ke pejabat-pejabat kerajaan dan jika ditemui ada tempat pembiakan nyamuk Aedes, mereka akan dikompaun.

“Statistik pada tahun lepas menunjukkan pejabat kerajaan menyumbang 18.8 peratus daripada jumlah tempat pembiakan nyamuk Aedes di Selangor. Setakat ini, belum lagi ada mana-mana pejabat kerajaan dikompaun.

“Tindakan kompaun ini kita anggap sebagai ‘cara lembut’ namun jika masih ada agensi atau jabatan kerajaan yang tidak berbuat apa-apa untuk pastikan aset mereka bebas daripada menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes, kita akan ‘name and shame’, kerana tiada siapa suka jika mereka dibuat begitu,” katanya kepada pemberita selepas menutup Program Selangor Bebas Aedes (Tempat Kerja dan Kuarters) di sini, hari ini.

Merumuskan mengenai program satu hari itu, Dr Siti Mariah menyarankan agensi dan jabatan kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa petugas yang proaktif bagi memantau pejabat serta aset-aset mereka di negeri berkenaan supaya bebas daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Katanya, program tersebut adalah langkah penting dalam menyampaikan hasrat kerajaan negeri untuk membanteras demam denggi memandangkan jumlah kes penyakit itu di Selangor setakat awal bulan ini merekodkan sebanyak 22,343 kes dengan 18 kematian iaitu meningkat 168 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Selain pejabat kerajaan, Dr. Siti Mariah memberitahu, 42.9 peratus daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes di Selangor adalah daripada rumah ibadat, tapak binaan (47.2 peratus), kilang (17.4 peratus), kemudahan kesihatan (12.4 peratus) serta sekolah (12.1 peratus).

“Berdasarkan rekod setakat minggu ke-14 tahun ini, Selangor menyumbang 58.67 peratus daripada jumlah demam denggi di seluruh negara. Kita seharusnya malu dan kesal kerana penyakit ini boleh dihalang dan dicegah. Disebabkan itu kita mahu semua pihak mengambil serius tentang perkara ini,” katanya. - BERNAMA