Timbalan Perdana Menteri berkata, biarpun wujud perbezaan pegangan parti politik, undang-undang harus ditegakkan dan siasatan harus dilakukan kerana orang yang bertanggungjawab dalam insiden itu mesti dipertanggungjawabkan.

“Ini adalah keputusan kerajaan dan kerajaan akan mempertimbangkannya. Perkara ini juga mengingatkan saya, apabila kita ada kuasa, kita mesti berlaku adil dan tidak menzalimi sesiapa serta tidak menyalahgunakan undang-undang.

“Saya membaca dengan teliti tulisan ‘Frankly Speaking’ oleh Tun Musa Hitam yang antara lain menyebut beliau telah memperoleh arahan untuk menghapuskan Kampung Memali kerana di situ ada unsur-unsur keganasan dan militan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Pas ketika itu.

“Kita harus ingat, mangsa yang meninggal dunia akibat daripada tindakan tersebut telah dinafikan oleh orang yang memerintah ketika itu. Nyawa yang hilang mungkin mudah dipandang (ringan) oleh orang yang melaksanakan kuasa tetapi tidak mudah dilupakan oleh orang yang menjadi mangsa,” katanya.

Ahmad Zahid merangkap Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang di Dewan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.