Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, bagaimanapun pihak­nya akan memberi kesedaran dan peringatan kepada warga JPV terlebih dahulu supaya tidak terlibat dalam aktiviti berkenaan.

“Langkah pertama adalah memberi kesedaran kepada kakitangan dan pegawai JPV yang setakat ini mereka menunjukkan respons positif terhadap seruan dan peringatan saya.

“Saya hendak tegaskan, sekiranya kita melihat selepas ini mereka masih tidak menunjukkan kesungguhan barulah kita rombak JPV,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Petani, Penternak dan Nelayan di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin dan Pengarah Perikanan negeri, Datuk Adnan Hussein.

Semalam, ruangan Awang Selamat yang disiarkan Mingguan Malaysia menyarankan supaya JPV dirombak sebagai antara kaedah bagi menyelesaikan isu kartel import daging dari luar negara.

Menurut Tajuddin, kerajaan memandang serius isu kartel import daging itu yang dilihat tidak adil kerana menutup peluang dan ruang kepada usahawan bumiputera.

“Pegawai JPV tolonglah tengok agenda kita ini iaitu selain mengeluarkan lesen atau permit import untuk bekalan makanan yang cukup, kita juga ada agenda nasional antaranya ekonomi bumiputera.

“Apabila bercakap tentang ekonomi bumiputera, kita bukan hendak merampas hak orang lain tetapi cuma hendak bahagian yang adil untuk golongan bumiputera,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi mengatasi isu berkenaan, pihaknya merangka beberapa strategi seperti mensyaratkan pengeksport memberikan kuota 30 peratus kepada pengimport bumiputera.

Katanya, syarat yang ditetapkan itu turut melibatkan dua syarikat pengeksport baharu yang diluluskan kementerian itu baru-baru ini.

“Secara dasarnya, menteri telah bersetuju dan saya akan memanggil mereka (pengeks­port) untuk memberitahu kalau hendak eksport, syarat sekurang-kurangnya 30 peratus mesti diberikan kepada pengimport bumiputera.

“Kemudian langkah ketiga, kita hendak menggalakkan penubuhan satu konsortium bumiputera supaya mereka ada kekuatan untuk mendapat pinjaman daripada bank kerana hendak mengimport memerlukan modal yang banyak,” ujarnya.