Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jumlah yang lebih tinggi itu diyakini mampu dicapai apabila keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang 4.9 peratus pada tahun ini.

“Apabila ekonomi meningkat, sudah tentunya kutipan cukai juga bertambah.

“Selain itu, kita juga yakin berdasarkan kejayaan sebelum ini yang telah memungut cukai langsung berjumlah RM137.035 bilion iaitu peningkatan 11.13 peratus berbanding 2017,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Hasil 2019 di Menara LHDN di sini hari ini.

Sementara itu, Guan Eng memaklumkan, sejumlah RM1.64 bilion baki pembayaran balik cukai pendapatan telah dilaksanakan kerajaan kepada pembayar cukai bermula Januari lalu, yang membabitkan 32,000 kes.

Katanya, jumlah itu merangkumi 18,215 syarikat, 14,082 bukan syarikat dan 162 duti setem.

“Ini sejajar janji kerajaan pada tahun lalu untuk menyelesaikan kesemua baki bayaran balik cukai pendapatan pada tahun ini.

“Sehubungan itu, saya berharap agar proses pembayaran balik ini dapat dengan segera sejurus peruntukan bayaran balik diterima LHDN,”katanya. - UTUSAN ONLINE