Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd. Sallehuddin Hassan berkata, geran tersebut adalah sebahagian peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK-11) dalam usaha meningkatkan minat golongan muda dalam sektor pertanian dan industri asas tani sekali gus memodenkan sektor ini.

Beliau berkata, ketika ini hanya 30 peratus golongan muda iaitu yang berusia antara 18 hingga 40 tahun terlibat dalam bidang ini sedangkan ia penting untuk menjamin bekalan makanan negara.

"Pada tahun ini kita menyediakan peruntukan GAM sebanyak RM15 juta untuk 1,000 usahawan muda beroleh geran projek permulaan bernilai sehingga RM20,000 dalam bentuk barangan.

"Setiap usahawan yang memohon akan melalui pemilihan yang ketat dan mereka dipantau supaya bantuan diberi tidak disalahgunakan," katanya kepada pemberita selepas Seminar Peluang Kerjaya Kepada Agropreneur Muda Jajahan Tumpat di Pejabat KADA Tumpat, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Mohd. Ridzuan Ismail.

Mohd. Sallehhuddin berkata, selain pemberian bantuan berbentuk barangan, pihaknya melalui Agrobank juga menyediakan pinjaman mudah sehingga RM200,000 untuk usahawan muda mengembangkan perniagaan dengan kadar caj perkhidmatan serendah dua peratus sahaja. - UTUSAN ONLINE