Program yang bertujuan membela nasib dua penduduk dalam kawasan perkarangan Masjid Subang yang rumah mereka dirobohkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) 4 Oktober lalu, memperlihatkan hadirin tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan negeri yang membiarkan perkara itu berlaku.

Salah seorang penduduk terlibat, Abd. Razak Said, 50, kecewa kerana sokongan tanpa berbelah-bahaginya terhadap gerakan reformasi pada 1998 bagi membela Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berbaloi apabila rumahnya sendiri dibiarkan roboh oleh kerajaan negeri yang diimpikannya.

Dia yang menjadi antara tahanan lokap kerana menyertai perhimpunan haram hampir 20 tahun lalu, tidak dapat membayangkan kesanggupan kerajaan negeri Selangor membiarkan rumah dan gerainya dalam perkarangan masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz (LTSAA) di Subang, dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan itu.

“Amat sedih kerana masalah saya tidak dipedulikan. Saya tidak mengharapkan apa-apa cuma mahukan pembelaan. Saya antara individu yang menyertai gerakan reformasi pada 1998 sehingga ditahan di lokap. Tidak sangka akhirnya rumah sendiri dirobohkan tanpa memikirkan keperluan saya yang mengusahakan perniagaan serta menanggung tiga orang anak yang masih bersekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Abd. Razak kini menetap secara sewa beli di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 yang ditawarkan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar yang prihatin terhadap nasib menimpa Abd. Razak dan keluarganya.

Ahli panel forum berkenaan terdiri daripada Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin (Chegubard); Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), A Sivarajan; AJK Pusat PSM, S Arulchelvan, dan dua mangsa perobohan itu, Abd. Razak dan Yaakob Abdul manakala moderator, Syukri Razab dari Angkatan Muda Keadilan (AMK).