Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan turut menyediakan ruang yang seluas-luasnya kepada madrasah-madrasah tahfiz yang ada di negara ini untuk memberikan pandangan dan cadangan kepada pembangunan dasar itu.

“Saya sendiri akan memberikan perhatian secara peribadi kepada pembentukan dan pelaksanaan DPTN ini.

“Kita mendapati institusi pendidikan tahfiz terus mendapat sambutan yang begitu hebat daripada masyarakat. Institusi tahfiz ini telah berkembang dan tidak lagi berpaling ke belakang,” katanya ketika berucap dalam Majlis Himpunan 20,000 Huffaz di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Dalam majlis yang sama, Perdana Menteri turut merasmikan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (Pinta).

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengerusi Pinta, Mohd. Zahid Mahmood.

Perdana Menteri menambah, penubuhan Pinta amat tepat pada masanya untuk madrasah dan maahad tahfiz disatukan dan disusun saf mereka.

“Sehingga pelbagai program dan aktiviti yang mampu memperkasakan kebajikan dan pendidikan institusi ini dapat dilaksanakan dengan lebih rapi dan menyeluruh,” ujarnya.

Sebagai satu sumbangan awal tanda pengiktirafan kerajaan kepada usaha para huffaz menubuhkan Pinta, Najib berkata, kerajaan bersetuju memberi sumbangan dana sebanyak RM10,000 bagi setiap Pinta di peringkat negeri.

“Untuk Pinta kebangsaan, kita akan bincangkan kemudian. Insya-Allah, harapan tidak akan dihampakan,” kata Perdana Menteri.

Beliau berharap sumbangan ikhlas itu turut disahut dan disambut oleh pihak kerajaan negeri serta para dermawan yang ada.

Najib turut mengumumkan 10 orang wakil Pinta akan diberi peluang menunaikan ibadat haji pada tahun ini di bawah program Yayasan 1Malaysia Development Bhd.(1MDB).

Dalam tempoh lima tahun terdahulu, kata beliau, program ibadat haji di bawah Yayasan 1MDB diberikan kepada imam-imam masjid dan ketua kampung.