Abang Johari
Abang Johari

Beliau berkata, projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan antara usaha terbesar kerajaan Pusat untuk memajukan negeri ini.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib yang telah meluluskan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang sedang giat dilaksanakan dari Telok Melano, Sematan ke Miri dan seterusnya ke Limbang dan Lawas.

“Ini merupakan projek pembangunan infrastruktur yang terbesar kerajaan Persekutuan berikan kepada Sarawak dalam tempoh 54 tahun dan kita yakin Lebuh Raya Pan Borneo adalah antara pemacu pemba­ngunan di negeri ini,” katanya ketika berucap pada perarakan Hari Kebangsaan Peringkat Ne­geri Sarawak di pekarangan Dewan Suarah Bintulu di sini, semalam.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib; isteri Ketua Menteri, Datin Amar Juma’ani Tunku Bujang dan barisan men­teri Kabinet negeri.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, menyertai Malaysia bukanlah penghalang untuk Sarawak menentukan nasibnya sendiri.

Malah, ujarnya, sekaranglah masanya untuk Sarawak mengorak langkah supaya boleh menjadi negeri yang maju dan setanding atau lebih ke hadapan daripada negeri-negeri lain.

“Inilah sebabnya, kita (kerajaan negeri) telah melaksanakan beberapa inisiatif supaya Sarawak mampu bergerak pantas,” jelasnya.

Menurut beliau, Bank Pemba­ngunan Sarawak atau DBOS telah ditubuhkan untuk membiayai beberapa projek strategik, termasuk pembaikan lebih 1000 sekolah daif di seluruh negeri ini.

“Kita juga sudah melantik Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif DBOS dalam kalangan profesional tempatan dan saya yakin bank ini dapat mula beroperasi awal tahun depan,” katanya sambil membe­ritahu Sarawak juga sudah me­nubuhkan syarikat minyak dan gas, iaitu PETROS yang turut diterujui anak Sarawak yang berkelayakan.

Mengenai tindakan menuntut hak Sarawak melalui Perjanjian Malaysia 1963, Abang Johari berkata, tuntutan itu tidak bermakna sokongan terhadap kewujudan dan kedaulatan Malaysia sudah berbelah bagi, malah Sarawak menyokong penuh kerajaan Pusat dan mahu hubungan kerajaan negeri dan Pusat kekal rapat.