Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Shazlee Shith, Malaysia baharu memperjuangkan kebebasan media kerana perkara itu menjadi penyumbang kepada pembangunan negara dan tidak melihat kehadiran pengamal media sebagai ancaman.

Dalam masa sama tegas beliau, aspek keselamatan kumpulan itu di seluruh negara tetap diutamakan.

"Diakui adakala keselamatan anda terancam tapi saya sebagai wakil kerajaan memberi jaminan terhadap keselamatan rakan-rakan media. Kita akan bantu mana-mana yang patut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) Kelapan di Rumah Wartawan, Taman Sari, di sini malam ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Azhar Ismail dan Presiden Kemudi Azran Fitri Abdul Rahim.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Eddin Shazlee berkata, pihak kementerian mengalu-alukan cadangan penubuhan Majlis Media Kebangsaan bagi menjaga kebajikan para pengamal media dan berharap perkara itu dapat dicapai dalam masa terdekat.

"Badan ini juga boleh membincangkan perkara-perkara berkaitan keselamatan pengamal media kerana saya percaya ia perlu diteliti dan diperhalusi.

"Saya tidak mahu rakan media berasa terancam ketika menjalankan tugas sekali gus menyebabkan mereka rasa terkekang daripada menjalankan tanggungjawab mereka dalam melapor berita," katanya.

Mengulas mengenai laporan berita palsu sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highland, Eddin Shazlee berkata kerajaan tidak melihat perkara itu boleh menjejaskan keselamatan negara.

"Setakat ini kita ada terima aduan namun kes itu tidak sampai mengancam keselamatan negara. Jika ada aduan, kita akan teliti setiap aduan tersebut dan kita juga akan pantau supaya PRK Cameron Highland berjalan lancar dan selamat," katanya. - UTUSAN ONLINE