Sambil mengutuk sekeras-kerasnya tindakan penahanan itu, Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), D. Sevan berkata, kerajaan juga tidak harus teragak-agak untuk memecat atau menggantung pegawai terlibat yang telah mengeluarkan arahan untuk meleraikan serta menahan penunjuk perasaan berkenaan.

Tegas beliau, hak untuk berhimpun secara aman termaktub di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan menjadi antara asas utama dalam amalan masyarakat demokratik.

Justeru, katanya, hak tersebut tidak harus disekat oleh mana-mana pihak dan kerajaan perlu bertanggungjawab untuk melindungi rakyat yang menganjur dan mengambil bahagian dalam perhimpunan aman.

“Keputusan untuk meleraikan perhimpunan aman menerusi penggunaan kuasa oleh kerajaan negeri Sabah dan PDRM telah melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, sebagai sebuah kerajaan yang berjanji untuk mendukung pembaharuan dan melindungi hak asasi manusia, PH harus menyiasat perlakuan DBKK dan PDRM.

“Sebarang percubaan pentadbiran PH untuk mempertahankan tindakan pihak berkuasa yang melanggari hak untuk berhimpun secara aman tidak dapat diterima memandangkan golongan itu juga merupakan mangsa penindasan demikian pada masa lalu. Jadi, sekarang kerajaan tidak boleh 'cuci tangan' tanggungjawab mereka apabila berlakunya pelanggaran hak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. - UTUSAN ONLINE