Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, pihaknya tidak berhasrat untuk menangguhkan atau membatalkan projek Bandar Raya Getah yang disifatkan dapat membantu rakyat dan industri di negeri ini.

“Kita memang bercadang akan teruskan projek ini (Bandar Raya Getah) dan sebab itu, LGM (Lembaga Getah Malaysia) akan berunding dengan pelbagai pihak. 

“Kementerian memang berharap dapat bekerjasama dengan pihak kerajaan negeri untuk melihat bagaimana untuk mempercepatkan pembangunan projek ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Industri Getah Kebangsaan 2018 di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd. Akin dan Ketua Pengarah LGM, Dr. Zairossani Mohd. Nor.

Menurut Teresa, pihaknya menerusi LGM membantu pihak kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk membangunkan pelan projek itu.

“Projek ini kini masih berada di peringkat perancangan yang mana difahamkan kerajaan negeri dan NCIA pada tahap pengambilan tanah. 

“Projek ini masih di peringkat awal, namun kita (Kementerian Industri Utama) berpendapat projek ini dapat membantu orang Kedah dan industri di negeri ini. Oleh sebab itu, kita memang berhasrat untuk meneruskan projek ini,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE