Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, ia adalah antara usaha kementerian bagi menjaga kebajikan kanak-kanak autisme selain mewujudkan kesedaran mengenai autisme dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, kementerian telah melaksanakan pelbagai program dalam usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang autisme dan menggalakkan ibu bapa mendaftarkan anak autisme mereka.

"Antara usaha yang dibuat termasuklah melalui kempen pendaftaran OKU yang dilaksanakan secara berkala pada setiap tahun mengikut negeri atau zon," katanya semasa menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai usaha kerajaan dalam memberi maklumat dan kesedaran kepada masyarakat tentang autisme bagi menggalakkan ibu bapa mendaftarkan anak autisme pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Jelasnya, antara sebab mengapa masih ramai ibu bapa yang belum mendaftarkan anak autisme sebagai OKU adalah kerana mereka percaya dengan intervensi awal, kanak-kanak berkenaan tidak perlu berdaftar sebagai OKU.

"Ramai yang tidak tahu bahawa kad OKU ini boleh dibatalkan atas pengesahan pegawai perubatan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Yeoh berkata kerajaan dalam proses menambah tiga lagi Pusat Permata Kurnia di Melaka; Alor Setar, Kedah dan Putrajaya.

Katanya pusat berkenaan menyediakan program intervensi sepenuh masa untuk kanak-kanak autisme yang berusia antara 4 hingga 6 tahun sebagai persediaan untuk memasuki sekolah aliran perdana.

Beliau turut berharap lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan sokongan Ibu bapa tampil untuk menyediakan perkhidmatan Early Intervention Programme (EIP) kepada kanak-kanak dikenal pasti mengalami autisme. - BERNAMA