Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, projek dijangka dilaksanakan akhir Februari ini, dibahagikan kepada dua pakej iaitu dari Temalat ke Nanga Ngemah sepanjang 9.6 Kilometer (KM) dan dari Nanga Ngemah hingga ke Nanga Ngungun sepanjang 5.1 KM.

Katanya, kementerian turut sudah melantik kontraktor untuk melaksanakan projek berkenaan yang dijadualkan memulakan kerja di tapak pembinaan pada 20 Februari ini.

“Apabila dua pakej jalan pintas ini disiap nanti, tiada lagi masalah jalan terputus dalam projek pembinaan Jalan Kapit-Sibu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Bersama Perancangan dan Pemantauan Projek Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW)-Kerajaan Sarawak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Timbalan Menteri KKLW, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Menteri Utiliti negeri, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Pelaksanaan projek pintas itu dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan semasa menghadiri Majlis Penutupan Gawai Dayak di Rumah Panjang Bengau, Sungai Sut, Baleh di Kapit pada 2015.

Mengenai mesyuarat kementeriannya dengan kerajaan negeri, Ismail Sabri berkata, mesyuarat yang pertama kali diadakan itu bertujuan membincangkan mengenai cadangan projek-projek yang boleh dilaksanakan secara bersama antara KKLW dengan kerajaan negeri di Sarawak.