Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, jika kerajaan berhasrat memberikan peruntukan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) sebagai sebahagian daripada belanjawan pembangunan kerajaan Persekutuan, kerajaan juga tidak seharusnya menidakkan bantuan kewangan kepada sekolah swasta di bawah institusi pendidikan agama.

“ABIM menggesa kerajaan PH membuat pertimbangan serius untuk memberikan peruntukan tahunan serta layanan yang sama kepada sekolah swasta lain dalam pelan holistik kewangan negara terutama dalam perbelanjaan pembangunan kerana banyak sekolah swasta agama yang lebih memerlukan.

“Kerajaan tidak seharusnya menidakkan bantuan kewangan kepada sekolah swasta termasuk institusi tahfiz dan sekolah agama rakyat terutama yang menggunakan kurikulum kebangsaan dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara serta silibus yang selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bahawa kementerian itu tidak menyediakan peruntukan kewangan kepada SMPC dan tidak termasuk dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Namun Maszlee kemudiannya berkata, peruntukan kerajaan PH kepada SMPC akan dimasukkan ke pelan kewangan holistik kebangsaan dalam bentuk perbelanjaan pembangunan namun keperluan dan bentuk peruntukan itu akan diputuskan berdasarkan kepada prestasi ekonomi keseluruhan serta selepas berbincang dengan Kementerian Kewangan.- UTUSAN ONLINE