Ketua Pegawai Eksekutif, Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selvaraj berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan kos tersebut berpatutan dan tidak membebankan pengguna.

“Penjagaan kesihatan merupakan satu keperluan pengguna dan tidak sepatutnya kosnya ditentukan oleh pasaran dan keuntungan yang pihak swasta ini perolehi.

“Kita perlu melihat kepada aspek kebajikan kerana penjagaan kesihatan ini merupakan hak asas pengguna, oleh itu kerajaan perlu melihat caj yang dikenakan oleh penyedia penjagaan kesihatan swasta supaya lebih berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan, di Menara Ilham di sini hari ini.

Dalam pada itu tambah Paul Selvaraj, kerajaan juga perlu memberikan lebih peruntukan kepada sistem penjagaan kesihatan awam supaya perkhidmatannya lebih memuaskan dan menjadi pilihan kepada rakyat. - UTUSAN ONLINE