Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, program tersebut akan merangka strategi serta inisiatif terbaik untuk mentransformasikan industri pembinaan ke arah sektor yang lebih selamat.

Menurutnya, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia untuk mewujudkan piawaian yang lebih tinggi terutama daripada aspek kemudahan pekerja di tapak pembinaan.

“Peraturan keselamatan di tapak pembinaan juga akan diperketatkan serta bagi memupuk kesedaran keselamatan bukan sahaja kepada pekerja malah termasuk orang awam.

“Saya percaya, kerajaan mampu memainkan peranan yang lebih kritikal dalam mewujudkan persekitaran yang lebih selamat,” katanya berucap melancarkan Minggu Ke­selamatan Sunway 2015 anjuran Kumpulan Sunway dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi CIDB, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah.

Menurut Fadillah, keselesaan dan keselamatan pekerja binaan juga perlu diberi perhatian memandangkan Malaysia semakin menghampiri status negara maju.

Katanya, CITP akan memperluas keperluan minimum seperti kemudahan perumahan kepada pekerja binaan supaya kebajikan mereka sentiasa dipelihara.

“Kita mahu Malaysia bebas daripada kejadian yang tidak diingini di tapak pembinaan seperti kecede­raan atau lebih teruk mengakibatkan kematian.

“Sekiranya kita tidak mengamalkan ciri-ciri keselamatan, industri pembinaan boleh terjejas,” katanya.