Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata, bagi mencapai penyelesai itu, Kazim perlu bertemu dan berbincang dengan pihaknya terlebih dahulu.

Jelas Asmuni, tidak menjadi masalah bagi kerajaan negeri untuk membantu Kazim kerana sebelum ini, pihak pengurusan beberapa buah pusat tahfiz telah bertemu dengannya untuk mendapatkan bantuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi berkenaan menjelaskan, walaupun tiada sebarang bentuk bantuan spesifik yang disediakan oleh kerajaan negeri, bantuan tetap disampaikan kepada mereka berdasarkan keperluan masing-masing.

“Itu sebabnya Kazim perlu bertemu dengan pihak saya bagi menjelaskan keperluan sebenar pusat tahfiznya supaya bentuk bantuan yang bersesuaian dapat dirangka.

“Bantuan berkenaan mungkin dalam bentuk jangka masa pendek mahupun panjang namun, semuanya bergantung kepada maklumat diberikan oleh Kazim,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Tambah beliau, pihaknya juga tidak mempunyai masalah untuk membawa masalah yang dihadapi pusat tahfiz hingga ke peringkat Mesyuarat Exco bagi membantu menyelesaikan maslaah yang dihadapi.

Asmuni turut menyatakan, setakat ini pihaknya tidak dapat memastikan sama ada Darul Barakah menerima bantuan daripada kerajaan sebelum ini kerana pusat tahfiz berkenaan merupakan sebuah institusi pendidikan swasta.

Jelas beliau, sekiranya tiada, kerajaan negeri tidak keberatan menimbangkan kemungkinan untuk memberikan bantuan kewangan setahun sekali seperti yang diberikan kepada beberapa buah pusat tahfiz di negeri itu.

“Saya tidak pasti sama ada pusat tahfiz itu menghadapi masalah kerana tidak mendapat bantuan kerajaan.

“Apa yang saya tahu sebelum ini Darul Barakah dikendalikan menggunakan sumber kewangan datang dari penjualan barangan ketika ceramah yang disampaikan oleh Kazim,” jelas beliau.

Menyentuh isu sama, Asmumi turut menasihatkan agar pengendali-pengendali pusat tahfiz mengkaji dan mencari kaedah alternatif bagi mendapatkan sumber kewangan untuk menampung perbelanjaan pengurusan institusi itu.

Kata beliau, perkara itu penting untuk dilakukan bagi mengelakkan pusat-pusat tahfiz berkenaan menghadapi masalah kewangan yang kritikal.

Semalam, Ustaz Mohd. Kazim Elias telah memaklumkan hasrat untuk menjual Unit Tahfiz Pusat Pendidikan Darul Barakah pada harga RM5 juta kerana beliau sudah tidak mampu lagi menanggung kos operasi yang mencecah RM150,000 sebulan.

Menurut Kazim, masalah itu timbul rentetan kekurangan dan pembatalan jemputan ceramah yang turut menjejaskan jualan barangan seperti buku dan sebagainya yang kebiasaannya di jual ketika sesi-sesi ceremah berkenaan. - UTUSAN ONLINE