Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kajian tersebut diterajui beberapa pihak termasuklah Pusat Kajian Strategik Kelantan dan turut melibatkan konsultan bebas.


Beliau berkata, usaha yang dibuat untuk menangani masalah gejala sosial terutama dalam kalangan golongan muda itu meneliti pelbagai aspek seperti faktor remaja lebih suka berada di luar berbanding rumah sendiri.


“Kita kena kaji punca mereka keluar, mungkin disebabkan ada warung dan kedai yang dibuka sehingga lewat malam, kita mungkin kena fikirkan kedai mana yang boleh dibenarkan berniaga misalnya sehingga pukul 12 tengah malam atau 3 pagi sahaja.


“Kita tahu sesetengah remaja tidak suka berada di rumah kerana kurang mesra dengan keluarga atau tiada kasih sayang, perkara ini juga perlu ditangani melalui penekanan kepada ketua keluarga supaya lebih berperanan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ucapan Amanat Tahun Baharu 2019 di Dewan Jamuan Utama, Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.


Ahmad berkata, sebarang pelaksanaan bagaimanapun hanya akan dilakukan selepas tempoh mencukupi diberi agar semua pihak boleh bersedia.


“Kita akan bagitahu awal, contohnya dua tahun lagi kita mahu hadkan operasi warung-warung yang berniaga lewat malam.


“Kalau kedai seperti 7 Eleven mungkin tiada tempat lepak tetapi yang menimbulkan masalah adalah tempat yang mempunyai kawasan lepak yang menjadi tumpuan remaja,” katanya. 


Awal November tahun lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wa­nita negeri, Mumtaz Md. Nawi semasa menggulung perbahasan Belanjawan 2019 dalam sidang Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Kelantan mengumumkan kerajaan bersetuju mengkaji pelaksanaan perintah berkurung ke atas remaja pada waktu malam bagi mengatasi masalah gejala sosial di negeri ini. - UTUSAN ONLINE