Ini berikutan, keadaan itu dikesan menjadi salah satu punca harga barangan melonjak tinggi secara melampau.

Apa pun, pihak berkuasa yang turut menyedari fenomena tersebut sudah memberi jaminan akan sentiasa mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan masalah itu dapat dikekang.

Ikuti bahagian kedua laporan khas oleh wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD ATHIR ISMAIL, ZULHILMI ZAINAL dan HADI AB. MANAP berkaitan inisiatif dan komitmen pihak berkuasa dalam

ISKANDAR HALIM SULAIMAN
ISKANDAR HALIM SULAIMAN 

menangani masalah tersebut khususnya demi melindungi kepentingan awam.

KUALA LUMPUR 3 Mac  -  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memandang serius isu lambakan pekerja serta majikan dalam kalangan warga asing yang melanggar peraturan berniaga khususnya di pasar borong sekitar Lembah Klang.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, usaha itu sentiasa digerakkan dari semasa ke semasa menerusi operasi bersepadu yang turut disertai Jabatan Imigresen, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menurutnya, kira-kira 55,928 premis di pasar borong sekitar Lembah Klang telah diperiksa oleh KPDNHEP dan beberapa agensi lain sepanjang tahun 2017 sehingga awal tahun ini. 
 “Dalam tempoh itu juga kita mengesan sebanyak 186 kesa­lahan melibatkan peniaga termasuk berstatus warga asing. Peniaga di kedua-dua pasar borong Kuala Lumpur dan Selangor itu didapati sewenang-wenangnya melanggar Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mingguan Malaysia menerusi laporan khas hari ini menyiarkan masalah kebanjiran warga asing yang kian mendominasi bebe­rapa pasar borong utama sekitar Lembah Klang.

Ia mendedahkan senario golongan terbabit bukan sahaja sebagai pekerja malah bergelar `tauke’ di tapak pasar berke­naan.

Lebih mengejutkan, keada­an itu membolehkan mereka menjadi penentu harga barang mentah sekali gus menjadi salah satu punca harga barangan sukar dikawal oleh kerajaan.

Mengulas dakwaan peniaga asing mendominasi lot-lot kedai dan bahu jalan di pasar borong, Iskandar Halim menegaskan, Jabatan Imigresen dan PBT akan mengekang permasalahan tersebut.

“Bagaimanapun, pemeriksaan proaktif akan dijalankan oleh KPDNHEP dari semasa ke semasa bagi memastikan semua peniaga termasuklah warga asing mematuhi perundangan yang ditetapkan se­perti tidak mencatut, mempamerkan tanda dan juga memastikan timbangan dan sukatan tepat.
 “Kita tidak mengawal semua harga barangan yang ada di pasaran tetapi mengawal barangan mengikut spesifikasi ter­tentu seperti gula, tepung gandum, minyak masak, gas petroleum cecair (LPG) dan petrol. Bagi musim perayaan tertentu, KPDNHEP mengawal barangan tersebut melalui Skim Kawalan Harga Musim Perayaan,” kata­nya.

Berhubung manipulasi harga dalam kalangan ‘tauke’ warga asing, beliau berkata, mereka yang disabitkan kesalahan mencatut atau membuat keuntungan tinggi tidak munasabah dalam menjual atau membekal barangan (Seksyen 14) serta menjual barang harga terka­wal mele­bihi harga maksimum yang ditetapkan (Seksyen 11) akan dikenakan penalti tidak melebihi RM100,000 atau tiga tahun penjara.

“Bagi kesalahan gagal mele­takkan tanda atau senarai harga barangan yang dijual, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Penjual Runcit) 1993 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya,” tambahnya.