Keyakinan itu dinyatakan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng walaupun sebelum ini Pakatan Harapan mendakwa Malaysia akan bankrap dan nilai ringgit akan terus menjunam akibat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan negara bergelut dengan hutang.

“Masalah rasuah kewangan 1MDB tidak meruntuhkan nilai ringgit dan pasaran modal seperti yang dibimbangi oleh para pelabur kerana mereka sedar bahawa ini adalah isu rasuah yang diwarisi oleh rejim terdahulu dan yakin bahawa kerajaan baharu ini komited untuk membebaskan Malaysia daripada reputasi sebagai negara jaguh kleptokrasi sedunia.

“Tambahan pula, perang perdagangan antara AS dan China menguntungkan Malaysia kerana Malaysia boleh menjadi satu destinasi pelaburan berisiko rendah untuk pelabur dari kedua-dua negara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, perlu ada pelan tindakan ekonomi daripada global kleptokrasi ke arah pertumbuhan mampan dengan disiplin fiskal, belanjawan berhemat, kestabilan kewangan dan inflasi rendah kerana pelabur sedar tahap keyakinan peniaga dan pengguna di Malaysia berada pada paras tinggi.

Tegas Guan Eng, kerajaan sedar akan cabaran yang perlu dihadapi berikutan pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terutamanya tentang kekurangan pendapatan dan risiko lain yang berkaitan seperti kelewatan bayaran balik GST. - UTUSAN ONLINE