Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha itu dilakukan bagi mendidik rakyat menerusi semaian al-Quran yang berterusan sebagai rujukan dalam segenap aspek kehidupan.

"Pada masa sama, kerajaan negeri akan menyalurkan geran tahunan kepada sekolah-sekolah agama rakyat selain institusi pengajian atau sekolah pondok di negeri ini.

"Pada kesempatan ini juga marilah kita bermuhasabah sejauh mana kita telah angkat al-Quran sebagai rujukan dalam kehidupan sama ada aspek ekonomi, sosial, politik, pendidikan dan lain-lain," katanya dalam perutusan Nuzul al-Quran, di sini hari ini.

Beliau seterusnya menarik perhatian, kemenangan Pas dan kejayaan parti itu menawan semula Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) perlu diisi ajaran berpandukan al-Quran serta Sunnah bagi membolehkan negeri ini cemerlang dalam pentadbirannya.

Ahmad Samsuri berkata, malah langkah itu juga akan mendorong pertumbuhan ekonomi Terengganu dan sentiasa diberkati Allah.

Beliau memberitahu, kitab suci al-Quran wajib diletakkan di darjat paling tinggi dalam pentadbiran negeri selain melibatkan kegiatan masyarakat dan individu.

"Al-Quran mesti dibaca dan diamalkan dalam seluruh aspek kehidupan umat manusia, bahkan lebih besar kita mempunyai tanggungjawab memperjuangkan isi kandungannya di semua peringkat sama ada individu, keluarga, masyarakat, negeri dan negara," jelasnya. - UTUSAN ONLINE