Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur ke atas mereka terbabit dan sekiranya diadili dan diputuskan bersalah, mereka bakal dikenakan tindakan tegas termasuk digantung perkhidmatan dan dibuang kerja.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, sebarang tindakan itu bergantung kepada keputusan perbicaraan di mahkamah dan sekiranya didapati bersalah.

"Kita beri amaran, kerajaan negeri tak teragak-agak ke atas sesiapa saja yang bersalah, kita tak akan pertahankan mereka. Kita ucap setinggi terima kasih kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan sesiapa terlibat salah guna kuasa dan sebagainya perlu diambil tindakan.

"Namun paling penting kita beri peluang agar mereka ini diadili terlebih dahulu, kita tak boleh nyatakan mereka bersalah selagi belum diputuskan bersalah," katanya.

Ahmad Razif menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan menghadiri majlis Ramah Mesra Bersama Timbalan Menteri Kesihatan dan Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan Terengganu di Duyong Marina & Resort, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Azman Abu Bakar; PengarahKesihatan Terengganu, Dr. Mohammad Omar dan Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Sultanah Nur Zahirah, Mohamad Nor Endut.

Beliau seterusnya mengakui terdapat beberapa kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan penjawat awam dan GLC di negeri ini dan mereka tidak terlepas daripada dikenakan tindakan.

"Kita ada beberapa kes sebelum ini, macam biasa kerajaan negeri akan gantung mereka terbabit sehingga kes selesai. kalau bersalah akan sambung kerja dan kalau bersalah, tidnakan akan kita ambil," ujarnya.

Di Kemaman, seorang pengurus pembangunan sebuah anak syarikat kerajaan negeri berusia 59 tahun dan isterinya berumur 52 tahun ditahan reman tiga hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan rasuah melibatkan nilai kira-kira RM5.4 juta.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy di Mahkamah Majistret, Kemaman pagi ini.

Pasangan suami isteri itu ditahan semalam bersama enam lagi ahli keluarga serta proksinya dalam operasi khas SPRM yang dilancarkan serentak di beberapa lokasi di Terengganu dan ibu negara. - UTUSAN ONLINE