Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, dana tersebut berjaya dikumpul hasil sumbangan rakyat negeri Terengganu sekali gus mencadangkan supaya sebahagian daripada sumbangan itu diperuntukkan untuk pembinaan surau di kem pelarian tersebut.

"Kalau dari segi bantuan makanan, sudah banyak pihak yang memberi sumbangan kepada mangsa pelarian tersebut. Jadi, kerajaan negeri Terengganu mencadangkan supaya sumbangan yang diberikan pada hari ini digunakan sebahagiannya untuk membina surau.

"Selain itu, sumbangan itu juga akan disalurkan untuk tiga aktiviti utama iaitu pengagihan barang penggunaan harian, klinik perubatan dan pembinaan bilik air serta telaga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara anak syarikat Kerajaan Terengganu, Terengganu Kitchen Sdn Bhd (T-Kitchen) dengan Brahim SATS Food Services Sdn Bhd (Brahim’s) serta Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Terengganu dan Majlis Penyerahan Replika Cek Mercy Malaysia, dekat sini hari ini. - UTUSAN ONLINE